Selamat Datang Siswa Siswi Baharu



Assalamualaikum wbkt. dan salam sejahtera,

Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan Selamat Datang kepada semua pelajar baharu sesi Akademik 2019/2020 ke Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM). Ditubuhkan pada 1 Ogos 2019, FPSM memulakan langkah memacu kecemerlangan untuk menjadi pusat kecemerlangan akademik berlandaskan visi untuk menjadi Fakulti terunggul yang berfokus dalam bidang Perikanan dan Sains Makanan. Bagi merealisasi hasrat ini, FPSM telah mengorak langkah dengan menyediakan pelbagai program akademik yang berkualiti serta rangkaian penyelidikan dan kerjasama samada dalam mahupun antarabangsa.

Seiring dengan Revolusi Industri 4.0, FPSM juga tidak menyisihkan kemahiran insaniah dan pengijazahan dalam tempoh yang telah ditetapkan (GOT). FPSM juga mempunyai dan menawarkan kursus kursus terpilih dalam bentuk talian (MOOCs).  Selain daripada prestasi akademik, pelajar juga dinilai berdasarkan kemahiran insaniah mereka di bawah sistem Purata Nilaian Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA) selaras dengan keperluan Malaysia Education Blueprint 2015-2025 (Higher Education) dalam melahirkan graduan yang holistik, berkeusahawanan serta seimbang dari segala faktor.

Justeru kami mengharapkan agar pelajar-pelajar semua dapat mengekalkan serta meneruskan kecemerlangan pada masa-masa akan datang. Sebelum penggabungan kami amat berbangga untuk menyatakan bahawa selepas hampir 6 tahun,  PPSPA dan PPSTM telah menghasilkan ribuan graduan dalam bidang kepakaran masing-masing selain graduan pasca siswazah, yang telah menyertai  sektor awam mahupun swasta malah ada yang ke peringkat antarabangsa.

Oleh yang demikian FPSM diharap dapat mendukung tradisi dalam melahirkan graduan-graduan cemerlang sahsiah dan juga akademik  samada di peringkat prasiswazah mahupun pasca siswazah.

Tahniah dan Selamat Maju Jaya untuk semua pelajar baharu sesi 2019/2020.

Professor Dr.Mohd Effendy Abd.Wahid

Dekan
Fakulti Perikanan dan Sains Makanan