Penyelidik Antartika daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Wan Mohd Rauhan Wan Hussin berkata, setiap perubahan yang berlaku di benua Antartika akan memberi kesan kepada seluruh negara termasuk Malaysia.
“Antartika mempunyai petunjuk penting kepada proses rumit planet kita. Selalunya digambarkan sebagai makmal semula jadi, ia memainkan peranan penting dalam sistem iklim Bumi.
“Lautan Selatan yang mengelilingi Antartika menghubungkan tiga lembangan lautan utama dan peredaran air dan suhunya sangat dipengaruhi ais di Antartika.
“Lautan Selatan ialah sinki karbon paling berkuasa dan menyerap kira-kira 30 peratus daripada keluaran karbon dioksida yang disebabkan oleh manusia. Kemusnahan ekosistem dan biodiversitinya akan mengurangkan keupayaannya untuk menangkap karbon, seterusnya meningkatkan suhu bumi,” katanya.